Blog – Perlukah Ada Perancangan?

Assalamualaikum dan salam perkenalan, apabila kita bercerita dengan blog, ramai yang mula menulis blog disebabkan minat untuk menulis, minat untuk menjana pendapatan tambahan dan pelbagai lagi sebab dan dengan pelbagai sebab inilah yang membuatkan kita akan terus menulis dan mengemaskini artikel demi artikel setiap hari atau minggu atau bulan di blog kita.



Persoalan artikel kali ini, blog – Perlukah ada Perancangan? Mari sama-sama kita meluangkan masa sejenak untuk memikirkan persoalan ini, mungkin ramai yang menjawab perlu dan tidak kurang juga yang menjawab tidak perlu. 

Bahkan mungkin ada segelintir yang tidak mengendahkan pun persoalan ini kerana bagi mereka, ini hanyalah soalan yang tidak mempunyai hala tujuan. Walau apapun jawapan yang kita berikan, tiada yang salah untuk semua jawapan itu kerana setiap perkara pasti ada baik dan buruknya. 



Begitu juga dengan persoalan yang dibangkitkan dalam artikel kali ini. Kata bijak pandai Gagal merancang adalah merancang untuk gagal dan saya pula ingin menambah, “Gagal untuk melaksanakan perancangan yang telah dirancang, itu juga menuju jalan kegagalan”. Oleh yang demikian, perancangan semata-mata tidak akan memberikan kita apa-apa kesan kerana perancangan perlu dilaksanakan, barulah ianya akan membuahkan hasil.

Berbalik kepada konsep menguruskan blog, perlukah kita mempunyai perancangan untuk blog kita? Jika kita merancang untuk menjadi blogger profesional yang menjadikan penulisan blog sebagai kerjaya, perancangan yang baik itu adalah sangat penting.


Meletakkan kayu pengukur

Jika kita ingin menjadikan penulisan blog sebagai kerjaya, pasti kita ingin memastikan blog kita menjana pendapatan yang cukup untuk menampung keperluan kehidupan kita. Sekiranya kita tidak merancang apa yang kita lakukan, lazimnya kita akan leka dan tidak sedar akan pencapaian yang kita kecapi kerana tiada kayu pengukur yang kita tetapkan. Berbeza apabila kita telah merancang untuk mencapai sesuatu dalam tempoh yang ditetapkan.


Contohnya kita merancang untuk mendapatkan pendapatan RM2880 sebulan daripada blog pertama kita dalam tempoh 12 bulan akan datang. Pendapatan semasa blog kita semasa perancangan dibuat adalah RM280 sahaja sebulan. Jika kita tidak ada perancangan yang baik, pasti sukar untuk merealisasikan impian tersebut dalam tempoh 12 bulan sahaja, namun senario ini amat berbeza jika kita mempunyai perancangan yang teliti. Kita akan memastikan beberapa bulan pertama akan digunakan untuk menambah baik prestasi blog disamping menghadiri pelbagai majlis untuk berkenalan dengan lebih ramai orang disamping mempromosi blog kita. Walaupun kita melakukan kegiatan atas talian, namun promosi luar talian juga boleh digunakan untuk memastikan apa yang ingin kita capai dapat dicapai. Perancangan sebegini akan membolehkan kita meletak titik panduan atau rujukan untuk menilai prestasi kegiatan yang sedang dijalankan.


Perancangan bukan semata-mata untuk duit

Ramai juga yang seringkali menyalah anggap, blog tidak perlu perancangan kerana mereka bukan ingin menjana pendapatan melalui blog. Walaupun anda hanya ingin menulis, jika anda mempunyai perancangan yang baik, perjalanan blog anda akan lebih kemas dan teratur. Selain itu, dengan perancangan yang sesuai, tidak akan timbul soal ketiadaan idea untuk menulis, atau tiada mood untuk menulis, atau kebuntuan semasa sedang merangka artikel yang ingin diterbitkan. Sekiranya anda merancang artikel anda dengan baik, isu-isu seperti yang disenaraikan akan dapat diatasi dengan lebih mudah dan seringkali isu-isu seperti itu tidak akan timbul pun. Bagaimana untuk merancangan aktiviti penulisan blog anda? itu anda perlu fikir atau rujuk bahan-bahan bacaan yang sesuai. Pada permulaan, mungkin agak sukar untuk merancang sesuatu yang kita buat sebagai hobi dan lain-lain, tetapi apabila kita sudah mula merancang dan meletakkan titik rujukan dalam perancangan kita, hasil yang lebih baik akan kita perolehi.


Laksanakan Perancangan

Seperti yang telah dinyatakan pada awal artikel, perancangan bukanlah langkah akhir yang perlu kita lakukan, ianya merupakan langkah pertama dalam aktiviti penulisan blog kita. Langkah seterusnya adalah perlaksanaan perancangan tersebut. Walau bagaimana hebat pun perancangan yang telah direncanakan, jika tiada perlaksanaan, ianya ibarat sebuah kereta yang telah siap dibina tetapi tidak dipandu untuk menuju ke destinasi pilihan kita. Oleh yang demikian, jawapan untuk persoalan adakah perlu perancangan dalam menguruskan sesebuah blog itu? jawapan dari penulis adalah ianya sangat perlu jika kita ingin menambah baik atau meletakkan blog kita pada tahap yang lebih tinggi. Setiap pencapaian yang kita telah rancang, jika tidak mendatangkan hasil dari segi wang ringgit, pasti boleh memberikan kita hasil dari segi emosi dan kepuasan dengan kejayaan tersebut.



Tentang Penulis : Eizil.Com , fulltime programmer, part time designer dan blogger. Dialah yang menjadi tulang belakang dan insan di sebalik blog Denaihati.com dan bakal menjadi pemangkin Eyriqazz.com dalam proses bertukar kepada own hosting+domain (Sudah tiba masanya untuk berubah ke arah yang lebih positif).

Eyriqazz merupakan seorang blogger yang telah mencapai pelbagai kejayaan dalam bidang penulisan blog ini, beliau gemar berkongsi mengenai rumah tangga dan juga gaya hidup

31 thoughts on “Blog – Perlukah Ada Perancangan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.